Rentetan Lina Joy

Pada 2 Februari 1997, Azlina Jailani memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997.

Pada 1999, dia sekali lagi memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dan diluluskan, tetapi permohonan untuk menukar status agama itu ditolak kerana tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada April 2001 Lina Joy telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Tetapi Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Oleh itu Lina Joy membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 19 September 2005 Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan sebab bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 30 Mei 2007 rayuan Lina Joy ditolak oleh Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sherif. Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan deklarasi yang dipohonnya.[2] Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden.